Selasa, 15 Januari 2019

Pendarahan Ketika Hamil. Perlukah Saya Risau ?



Kehamilan pada peringkat trimester pertama seringkali membuatkan wanita hamil tidak senang duduk dan resah. Ini kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada diri dan bayi dalam kandungan. Antara perkara yang merisaukan wanita hamil ialah terjadinya pendarahan ketika hamil di bahagian vagina.

Hanya segelintir wanita yang menghadapi masalah pendarahan vagina semasa trimester pertama. Sukar untuk wanita membezakan antara pendarahan normal dan pendarahan akibat komplikasi tertentu. Cara terbaik mengenalpasti punca sebenar pendarahan adalah melalui pemeriksaan doktor.


Pendarahan Normal vs Pendarahan Tidak Normal


Pendarahan yang normal dan tidak membahayakan biasanya keluar dalam kuantiti yang amat sedikit. Kuantiti darah yang keluar malah tidak sebanyak seperti pendarahan ketika wanita mengalami haid. Istilah ini dipanggil sebagai spotting. Pendarahan juga tidak berlaku untuk  tempoh berpanjangan dan ibu hamil tidak mengalami sebarang masalah seperti sakit badan.

Boleh jadi juga pendarahan yang berlaku itu sebagai petanda masalah lain yang tidak disangka. Ia memerlukan pemeriksaan dan rawatan doktor dengan kadar segera bagi mengelakkan kesan lebih serius kepada bayi dalam kandungan dan ibu itu sendiri.

Berikut ialah beberapa kemungkinan yang boleh dijangkakan dari pendarahan ketika hamil.


1. Anda Mengandung Tanpa Sedar


Adakalanya wanita mengandung tanpa disedari sehinggalah mereka mendapati berlakunya pendarahan di bahagian vagina. Pendarahan ini tidak seharusnya dianggap normal jika ia bukan berlaku dalam tempoh kitar haid normal.

Pendarahan jenis ini berlaku semasa proses penempelan telur yang disenyawakan pada dinding rahim. Kebiasaannya daraha akan keluar dalam waktu ketika wanita menghampiri kitar haid. Akan tetapi pendarahn penempelan ini lebih ringan. Ia tidak banyak seperti pendarahan semasa haid. Biasanya keluar dalam kuantiti yang amat sedikit dan anda hanya perlu mengenakan panty liner bersaiz kecil. Pendarahan jenis ini akan berhenti dengan sendirinya tanpa memerlukan sebarang rawatan.


2. Subchorionic Hematoma


Kadar pendarahan kehamilan akibat Subchorionic Hematoma amat kecil iaitu kira-kira 1% daripada sekian banyak kehamilan. Subchorionic Hematoma adalah pengumpulan dari pendarahan yang terjadi di bawah membran chorion yang mengelilingi embrio atau janin. Pendarahan ini berlaku semasa peringkat trimester kehamilan. Ia boleh dikesan melalui imbasan USG. Gejala paling umum ialah pendarahan yang keluar dari vagina.

Pendarahan jenis ini tidak menimbulkan sebarang gejala malah ia tidak dikaitkan sebagai salah satu simptom keguguran. Akan tetapi terdapat kes di mana subchorionic hematoma yang menyebabkan keguguran iaitu apabila berlaku pelepasan plasenta dari dinding rahim. Risiko subchorionic hematoma juga bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya  saiz hematoma itu sendiri, umur ibu hamil dan usia kehamilan.


3. Pendarahan Selepas Hubungan Intim


Serviks terletak di antara rahim dan vagina. Perubahan kepada organ serviks adalah salah satu penyebab berlaku pendarahan selepas anda melakukan hubungan intim ketika hamil. Perubahan ini akan menjadikan serviks lembut, serta pertambahan darah disebabkan peningkatan hormon estrogen yang berlaku.

Wanita tidak akan merasai perubahan ini secara langsung. Tetapi perubahan ini boleh mengakibatkan sedikit pendarahan yang tidak perlu dirisaukan. Namun jika berlaku pendarahan yang banyak diikuti oleh sakit badan dan kekejangan, anda harus segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.


4. Kehamilan Luar Rahim


Ia juga disebut sebagai kehamilan ektopia. Kehamilan luar rahim terjadi apabila hasil persenyawaan, atau zigot, tertanam di kawasan luar rahim seperti di tiub Fallopio, ovari ataupun di dalam ruang abdomen. Zigot yang tertanam di pangkal rahim (serviks) juga dikira sebagai kandungan luar rahim. Wanita hamil berusia antara 35 sehingga 44 tahun berisiko mengalami kehamilan luar rahim.

Pendarahan ini boleh berlaku dalam kuantiti yang banyak atau sedikit sahaja. Biasanya kehamilan luar rahim dan pendarahan ini menunjukkan simptom yang jelas seperti kesakitan di bahagian abdomen, pelvis, bahu dan juga sekitar leher.

Semua simptom yang diikuti dengan pendarahan ini perlu segera dibawa ke doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.


5. Kehamilan Molar


Ia juga disebut sebagai kehamilan anggur. Kehamilan ini tidak membentuk janin dengan sempurna dan tidak berkembang. Sebaliknya ia membentuk tisu-tisu seperti bentuk anggur. Kehamilan anggur menunjukkan simptom yang serius termasuk pendarahan yang banyak. Pada awal kehamilan, wanita tersebut mengalami muntah yang teruk serta pucat sehingga menjejaskan kesihatannya.

Kira-kira 1 daripada 1000 kehamilan di Malaysia akan mengalami kehamilan molar. Wanita yang hamil melebihi usia 35 tahun atau di bawah usia 20 tahun berisiko tinggi mengalami kehamilan molar.


6. Jangkitan Vagina


Jangkitan di bahagian vagina boleh berlaku semasa kehamilan. Antara jangkitan vagina yang dikenalpasti berlaku di kalangan wanita adalah jangkitan bakteria vaginosis, jangkitan kulat, Streptokokus Kumpulan B dan trikomoniasis.

Kesemua jangkitan ini menunjukkan simptom yang hasmpir sama iaitu ketidakselesaan di bahagian vagina, rasa gatal, berbau dan mungkin juga mengakibatkan pendarahan jika tidak dirawat dengan segera. Kebanyakan jangkitan vagina boleh sembuh dengan cepat selepas mendapat rawatan doktor menerusi pemeriksaan dan ubat-ubatan.


Bila Saya Patut Risau Jika Berlaku Pendarahan Ketika Hamil?



Kesemua jenis pendarahan ketika hamil akan menunjukkan simptomnya yang tersendiri. Terdapat tiga keadaan yang perlu anda risau apabila berlaku pendarahan semasa kehamilan. Jika terdapat tiga tanda pendarahan ini, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan segera bagi mengesan punca sebenar berlakunya pendarahan.


1. Keluar Darah Dalam Kuantiti Yang Banyak


Darah keluar dalam kuantiti yang banyak melebihi kebiasaanya yang berlaku ketika anda mengalami haid. Kenalpasti jumlah tuala wanita yang dikenakan semasa pendarahan berlaku. Jika dalam tempoh tiga jam anda menggunakan lebih daripada satu atau dua keping tuala wanita, ia mungkin petanda anda mengalami pendarahan yang berpunca daripada komplikasi yang serius.


2. Pendarahan Diikuti Dengan Rasa Sakit


Rasa sakit dan kekejangan yang teruk seperti wanita yang mengalami kekejangan semasa haid atau mungkin lebih sakit lagi. Ia dapat dirasai di bahagian abdomen, pelvis, belakang dan bahagian leher. Pendarahan yang serius juga akan diikuti oleh tanda kesakitan yang lain seperti muntah, penurunan atau kenaikan tekanan darah, pucat dan pening kepala.


3. Pendarahan Tidak Berhenti


Pendarahan serius yang berlanjutan selama berhari-hari malah berlarutan selama berminggu-minggu tanpa henti.


4. Kenalpasti Darah Yang Keluar


Anda juga perlu peka kepada keadaan darah yang keluar. Ia boleh diperhatikan dari segi warna darah atau adakah darah yang keluar itu diikuti oleh ketulan dalam bentuk tisu yang tidak normal. Perhatikan jika warna darah yang keluar itu luar biasa seperti terlalu cerah tidak seperti warna darah biasa ketika haid.


Dapatkan Kepastian Doktor


Apapun jenis pendarahan yang anda alami sepanjang kehamilan, seharusnya anda mendapatkan rujukan daripada doktor. Walaupun mungkin pendarahan yang dialami itu dirasakan seperti tidak serius atau keluar dalam jumlah pendarahan yang sedikit, anda seharusnya tidak ragu-ragu mendapatkan penjelasan doktor untuk lebih selamat.

Walaubagaimanapun, jika pendarahan di hujung kehamilan diikuti dengan air ketuban yang pecah, itu tandanya anda mahu bersalin dan siap untuk menimang kelahiran cahaya mata.

Wanita Mengidam Ketika Hamil. Fakta Atau Auta?



“Abang, boleh tak malam ini belikan saya daging istimewa? Baby dalam perut ini mengidam makan daging”

“Ok, nak daging ayam ke daging lembu?”

“Daging rusa boleh?”

Bayangkan jika tiba-tiba isteri anda yang sedang hamil mengidam untuk makan daging rusa. Pasti haru biru dibuatnya. Kalau tidak dipenuhi tentu si isteri akan akan merajuk dan tidak selera makan kerana ingin menikmati daging rusa. Lagipun mana hendak mencari daging rusa lebih-lebih lagi apabila tinggal di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Banyak pengorbanan yang perlu dilalui oleh si suami apabila si isteri mengidam makanan yang pelik-pelik dan sukar didapati ketika hamil.


Benarkan Setiap Ibu Mengandung Mesti Mengidam?


Memang benar bahawa kebanyakan ibu hamil akan mengalami perasaan mengidam ingin makan sesuatu makanan secara tiba-tiba. Jenis makanan yang diidamkan berbeza di antara setiap wanita mengandung. Ada yang tiba-tiba menggemari makanan masam seperti jeruk dan oren. Ada yang menjadi begitu ketagih terhadap makanan manis sehingga makan begitu banyak ais krim. Boleh jadi juga isteri anda mengidam menikmati daging haiwan tertentu yang tidak pernah dinikmati sebelumnya seperti daging rusa dan arnab.

Perasaan mengidam seorang ibu hamil boleh juga berlaku tanpa mengira masa. Banyak kes di mana ibu hamil akan terjaga di tengah-tengah malam kerana tiba-tiba mengidam sesuatu makanan. Si suami pula terpaksa bersusah payah keluar rumah di tengah-tengah malam mencari makanan yang diinginkan.

Namun bagi wanita yang tidak mengalami apa-apa perasaan mengidam makanan ketika hamil tidak perlu pula merasa risau. Itu juga adalah sesuatu yang normal. Malah adalah lebih baik jika anda langsung tidak mengidam apa-apa jenis makanan secara tidak normal. Sekurang-kurangnya anda masih mampu mengawal jenis makanan terbaik yang sepatutnya diperlukan  ketika hamil.


Mengidam Bukan Hanya Melibatkan Makanan


Mengidam ketika hamil tidak hanya melibatkan keinginan luar biasa terhadap sesuatu makanan. Boleh jadi isteri akan berkeinginan melakukan sesuatu yang diluar jangkaan. Mereka juga mungkin akan melakukan tabiat pelik secara rutin selama beberapa ketika dalam tempoh kehamilan.

Ada wanita yang secara tiba-tiba menggemari bau ketiak suami sehingga perlu tidur di bawah ketiak suami seperti kanak-kanak kecil.

Ada wanita hamil yang suka menghidu bau asap motor setiap kali si suami menghidupkan enjin motor untuk ke tempat kerja.

Ada suami yang terpaksa mengorbankan kulit badannya kerana tabiat isteri yang tiba-tiba suka menggigit badan suami.


Apa Yang Menyebabkan Wanita Hamil Mengidam ?


Pelbagai tabiat pelik ibu hamil yang sukar dirungkai menerusi kajian sanitifik. Tidak ada kajian konkrit yang dapat mengaitkan punca-punca ibu hamil mengidam sesuatu makanan atau mengubah tabiat pelik ketika sedang mengandung. Sesetengah pakar mengatakan bahawa ia berlaku disebabkan perubahan hormon dalam badan wanita. Perubahan hormon itu memberi kesan yang kuat terhadap deria rasa dan bau sehingga menyebabkan wanita hamil menjadi begitu sensitif terhadap rasa sesuatu makanan dan bau.

Ada pula yang mengatakan perubahan itu disebabkan berlaku kekurangan vitamin dan mineral tertentu dalam badan wanita hamil. Tetapi masih tiada bukti yang kuat dapat menyokong pendapat itu.


Bilakah Wanita Hamil Mula Mengidam ?


Sesetengah wanita mengatakan bahawa mereka mula mengidam makanan tertentu sebelum mereka tahu bahawa mereka telah mengandung. Ada wanita yang mengidam semasa di trimester kedua. Secara kebiasaannya, tahap mengidam ini akan menurun apabila si ibu menghampiri tempoh bersalin. Gejala yang sering berlaku ketika ibu hamil iaitu morning sickness atau keadaan muntah-muntah ketika hamil sering dikaitkan dengan tabiat mengidam. Ini kerana selalunya kedua-dua simptom ini akan muncul pada masa yang sama. Misalnya ibu hamil tiba-tiba mengidam jeruk mangga untuk menghilangkan rasa loya dan muntah. Ini berlaku pada minggu ketiga sehingga minggu ke lapan kehamilan dan ia beransur-ansur hilang selepas beberapa minggu.


Mengidam Berbeza Mengikut Budaya


Perbezaan budaya akan menunjukkan situasi mengidam yang berbeza di kalangan ibu hamil di seluruh dunia. Sebagai contoh, wanita yang mengidam sesuatu makanan akan berkeinginan tinggi terhadap jenis makanan yang menjadi pilihan utama suatu budaya atau bangsa. Sebagai contoh peratusan mengidam makanan manis seperti ais krim wanita hamil di Amerika menunjukkan peratusan tertinggi berbanding makanan masam seperti jeruk.

Berbeza bagi kebanyakan wanita di nusantara termasuk Malaysia, kebanyakan wanita hamil begitu mengidam makanan masam manis seperti jeruk mangga.


Di Tanzania pula peratusan wanita hamil yang mengidam daging tertentu menunjukkan peratusan tertinggi iaitu 23.3% diikuti oleh mangga (22.7%), yogurt (20.0%), oren dan makanan-makan lain termasuk minuman bergas.

Auta Mengenai Wanita Mengidam Ketika Hamil

Kita sering dengar bahawa jika keinginan terhadap sesuatu makanan wanita hamil tidak dipenuhi akan memberi kesan kepada bayi selepas dilahirkan. Orang tua dulu-dulu menyebut jika permintaan selera ibu hamil tidak dipenuhi, anak yang lahir akan mempunyai tabiat melelehkan air liur semasa membesar. Sebenarnya ini tidak benar kerana gejala mengidam ibu hamil hanyalah dirasai oleh si ibu dan tiada kaitan dengan perkembangan bayi dalam kandungan.

Seperkara lagi adakah benar perasaan mengidam terhadap sesuatu ketika hamil perlu dipenuhi? Jawapannya tidak benar! Mengidam hanyalah sesuatu yang berkaitan dengan perasaan. Sesuatu yang berkaitan dengan perasaan boleh diubah dengan cara mengalihkan perhatian dengan melakukan sesuatu atau mengubah menu sajian makanan.

Ada juga yang mengaitkan mengidam makanan dengan jantina bayi yang bakal dilahirkan. Sebagai contoh jika si ibu terlalu gemar makanan masam, berkemungkinan bayi yang bakal lahir ialah anak lelaki. Jika makanan manis pula, kemungkinan besar bayi perempuan yang bakal dilahirkan. Ini juga tidak pernah dibuktikan secara saintifik dan mitos ini hanya bergantung kepada pengalaman ibu sejak zaman berzaman.

Bolehkah Mengidam Membawa Kemudaratan Kepada Ibu Hamil ?

Jawapannya Ya!

Banyak terjadi di negara barat di mana ramai ibu hamil yang mengidam makan atau minum sesuatu yang memudaratkan perkembangan bayi dalam kandungan. Sebagai contoh mengidam secara luar biasa terhadap minuman beralkohol. Ibu hamil tidak seharusnya mengambil sebarang minuman beralkohol kerana ia boleh memudaratkan keadaan ibu dan berkemungkinan menyebabkan keguguran bayi dalam kandungan.

Ada juga berlaku di mana ibu hamil memiliki selera yang pelik terhadap makanan kotor yang tidak mengandungi nilai nutrisi yang berguna untuk dimakan oleh manusia.

Lebih memudaratkan lagi apabila ibu hamil mengalami gejala Pica iaitu penyakit mental yang mendorong mereka makan objek yang membahayakan seperti batu dan benda-benda tajam. Jika terjadi keadaan ini, ibu hamil perlu mendapatkan rawatan pakar psikiatri kerana Pica dikategorikan sebagai penyakit mental yang perlu diubati menerusi rawatan psikologi.

Apabila ibu hamil terlalu mengidam makan-makanan manis juga boleh membahayakan. Makanan manis yang dimakan setiap hari secara berlebihan berisiko menyebabkan ibu hamil mengidap penyakit diabetes. Penyakit diabetes yang paling kerap dialami oleh ibu hamil ialah diabtes gestasi. Ia adalah kencing manis yang dihadapi kali pertama semasa kehamilan. Begitu juga dengan makanan yang terlalu masin boleh meningkatkan risiko penyakit darah tinggi.

Jadi, walaupun menjadi tanggungjawab suami untuk memenuhi selera mengidam ibu hamil, namun anda perlu memastikan makanan yang diidamkan itu tidak memberi mudarat terhadap kesihatan mereka. Dalam memenuhi selera mengidam ketika hamil, isteri dan suami seharusnya tahu membezakan selera mana yang wajib dan tidak wajib dipenuhi.

Teknik Buat Blog 2010-2011 © All Rights Reserved
Best View With Mozilla Firefox
SENSASI