Selasa, 15 Januari 2019

Pendarahan Ketika Hamil. Perlukah Saya Risau ?



Kehamilan pada peringkat trimester pertama seringkali membuatkan wanita hamil tidak senang duduk dan resah. Ini kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada diri dan bayi dalam kandungan. Antara perkara yang merisaukan wanita hamil ialah terjadinya pendarahan ketika hamil di bahagian vagina.

Hanya segelintir wanita yang menghadapi masalah pendarahan vagina semasa trimester pertama. Sukar untuk wanita membezakan antara pendarahan normal dan pendarahan akibat komplikasi tertentu. Cara terbaik mengenalpasti punca sebenar pendarahan adalah melalui pemeriksaan doktor.


Pendarahan Normal vs Pendarahan Tidak Normal


Pendarahan yang normal dan tidak membahayakan biasanya keluar dalam kuantiti yang amat sedikit. Kuantiti darah yang keluar malah tidak sebanyak seperti pendarahan ketika wanita mengalami haid. Istilah ini dipanggil sebagai spotting. Pendarahan juga tidak berlaku untuk  tempoh berpanjangan dan ibu hamil tidak mengalami sebarang masalah seperti sakit badan.

Boleh jadi juga pendarahan yang berlaku itu sebagai petanda masalah lain yang tidak disangka. Ia memerlukan pemeriksaan dan rawatan doktor dengan kadar segera bagi mengelakkan kesan lebih serius kepada bayi dalam kandungan dan ibu itu sendiri.

Berikut ialah beberapa kemungkinan yang boleh dijangkakan dari pendarahan ketika hamil.


1. Anda Mengandung Tanpa Sedar


Adakalanya wanita mengandung tanpa disedari sehinggalah mereka mendapati berlakunya pendarahan di bahagian vagina. Pendarahan ini tidak seharusnya dianggap normal jika ia bukan berlaku dalam tempoh kitar haid normal.

Pendarahan jenis ini berlaku semasa proses penempelan telur yang disenyawakan pada dinding rahim. Kebiasaannya daraha akan keluar dalam waktu ketika wanita menghampiri kitar haid. Akan tetapi pendarahn penempelan ini lebih ringan. Ia tidak banyak seperti pendarahan semasa haid. Biasanya keluar dalam kuantiti yang amat sedikit dan anda hanya perlu mengenakan panty liner bersaiz kecil. Pendarahan jenis ini akan berhenti dengan sendirinya tanpa memerlukan sebarang rawatan.


2. Subchorionic Hematoma


Kadar pendarahan kehamilan akibat Subchorionic Hematoma amat kecil iaitu kira-kira 1% daripada sekian banyak kehamilan. Subchorionic Hematoma adalah pengumpulan dari pendarahan yang terjadi di bawah membran chorion yang mengelilingi embrio atau janin. Pendarahan ini berlaku semasa peringkat trimester kehamilan. Ia boleh dikesan melalui imbasan USG. Gejala paling umum ialah pendarahan yang keluar dari vagina.

Pendarahan jenis ini tidak menimbulkan sebarang gejala malah ia tidak dikaitkan sebagai salah satu simptom keguguran. Akan tetapi terdapat kes di mana subchorionic hematoma yang menyebabkan keguguran iaitu apabila berlaku pelepasan plasenta dari dinding rahim. Risiko subchorionic hematoma juga bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya  saiz hematoma itu sendiri, umur ibu hamil dan usia kehamilan.


3. Pendarahan Selepas Hubungan Intim


Serviks terletak di antara rahim dan vagina. Perubahan kepada organ serviks adalah salah satu penyebab berlaku pendarahan selepas anda melakukan hubungan intim ketika hamil. Perubahan ini akan menjadikan serviks lembut, serta pertambahan darah disebabkan peningkatan hormon estrogen yang berlaku.

Wanita tidak akan merasai perubahan ini secara langsung. Tetapi perubahan ini boleh mengakibatkan sedikit pendarahan yang tidak perlu dirisaukan. Namun jika berlaku pendarahan yang banyak diikuti oleh sakit badan dan kekejangan, anda harus segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.


4. Kehamilan Luar Rahim


Ia juga disebut sebagai kehamilan ektopia. Kehamilan luar rahim terjadi apabila hasil persenyawaan, atau zigot, tertanam di kawasan luar rahim seperti di tiub Fallopio, ovari ataupun di dalam ruang abdomen. Zigot yang tertanam di pangkal rahim (serviks) juga dikira sebagai kandungan luar rahim. Wanita hamil berusia antara 35 sehingga 44 tahun berisiko mengalami kehamilan luar rahim.

Pendarahan ini boleh berlaku dalam kuantiti yang banyak atau sedikit sahaja. Biasanya kehamilan luar rahim dan pendarahan ini menunjukkan simptom yang jelas seperti kesakitan di bahagian abdomen, pelvis, bahu dan juga sekitar leher.

Semua simptom yang diikuti dengan pendarahan ini perlu segera dibawa ke doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.


5. Kehamilan Molar


Ia juga disebut sebagai kehamilan anggur. Kehamilan ini tidak membentuk janin dengan sempurna dan tidak berkembang. Sebaliknya ia membentuk tisu-tisu seperti bentuk anggur. Kehamilan anggur menunjukkan simptom yang serius termasuk pendarahan yang banyak. Pada awal kehamilan, wanita tersebut mengalami muntah yang teruk serta pucat sehingga menjejaskan kesihatannya.

Kira-kira 1 daripada 1000 kehamilan di Malaysia akan mengalami kehamilan molar. Wanita yang hamil melebihi usia 35 tahun atau di bawah usia 20 tahun berisiko tinggi mengalami kehamilan molar.


6. Jangkitan Vagina


Jangkitan di bahagian vagina boleh berlaku semasa kehamilan. Antara jangkitan vagina yang dikenalpasti berlaku di kalangan wanita adalah jangkitan bakteria vaginosis, jangkitan kulat, Streptokokus Kumpulan B dan trikomoniasis.

Kesemua jangkitan ini menunjukkan simptom yang hasmpir sama iaitu ketidakselesaan di bahagian vagina, rasa gatal, berbau dan mungkin juga mengakibatkan pendarahan jika tidak dirawat dengan segera. Kebanyakan jangkitan vagina boleh sembuh dengan cepat selepas mendapat rawatan doktor menerusi pemeriksaan dan ubat-ubatan.


Bila Saya Patut Risau Jika Berlaku Pendarahan Ketika Hamil?



Kesemua jenis pendarahan ketika hamil akan menunjukkan simptomnya yang tersendiri. Terdapat tiga keadaan yang perlu anda risau apabila berlaku pendarahan semasa kehamilan. Jika terdapat tiga tanda pendarahan ini, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan segera bagi mengesan punca sebenar berlakunya pendarahan.


1. Keluar Darah Dalam Kuantiti Yang Banyak


Darah keluar dalam kuantiti yang banyak melebihi kebiasaanya yang berlaku ketika anda mengalami haid. Kenalpasti jumlah tuala wanita yang dikenakan semasa pendarahan berlaku. Jika dalam tempoh tiga jam anda menggunakan lebih daripada satu atau dua keping tuala wanita, ia mungkin petanda anda mengalami pendarahan yang berpunca daripada komplikasi yang serius.


2. Pendarahan Diikuti Dengan Rasa Sakit


Rasa sakit dan kekejangan yang teruk seperti wanita yang mengalami kekejangan semasa haid atau mungkin lebih sakit lagi. Ia dapat dirasai di bahagian abdomen, pelvis, belakang dan bahagian leher. Pendarahan yang serius juga akan diikuti oleh tanda kesakitan yang lain seperti muntah, penurunan atau kenaikan tekanan darah, pucat dan pening kepala.


3. Pendarahan Tidak Berhenti


Pendarahan serius yang berlanjutan selama berhari-hari malah berlarutan selama berminggu-minggu tanpa henti.


4. Kenalpasti Darah Yang Keluar


Anda juga perlu peka kepada keadaan darah yang keluar. Ia boleh diperhatikan dari segi warna darah atau adakah darah yang keluar itu diikuti oleh ketulan dalam bentuk tisu yang tidak normal. Perhatikan jika warna darah yang keluar itu luar biasa seperti terlalu cerah tidak seperti warna darah biasa ketika haid.


Dapatkan Kepastian Doktor


Apapun jenis pendarahan yang anda alami sepanjang kehamilan, seharusnya anda mendapatkan rujukan daripada doktor. Walaupun mungkin pendarahan yang dialami itu dirasakan seperti tidak serius atau keluar dalam jumlah pendarahan yang sedikit, anda seharusnya tidak ragu-ragu mendapatkan penjelasan doktor untuk lebih selamat.

Walaubagaimanapun, jika pendarahan di hujung kehamilan diikuti dengan air ketuban yang pecah, itu tandanya anda mahu bersalin dan siap untuk menimang kelahiran cahaya mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Teknik Buat Blog 2010-2011 © All Rights Reserved
Best View With Mozilla Firefox
SENSASI